mcmc
Maklumat Setempat

Penerbitan

KISAH  KEJAYAAN ANAK FELDA TERSANG 3

1. MBOR  iktiraf  Nasuha  pendaki  muda

MARAN 17 Julai – Mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang, Mohd. Nasuha Shamsudin diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pendaki Gunung Everest termuda negara.

Mohd. Nasuha, 21, generasi baharu Felda Tersang 3, Raub, Pahang merupakan penuntut di Fakulti Sains dan Rekreasi.

Majlis penyerahan sijil berlangsung di Kampus UiTM Cawangan Pahang di sini, yang disempurnakan wakil MBOR, Zuhairi Md. Zain kepada Mohd. Nasuha baru-baru ini.

Yang hadir sama, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Pahang, Mustaffa Kamal Mat dan Ketua Pusat Pengajian Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Pahang, Mohd. Sopian Mohd. Zaki.

Sementara itu, Mustaffa Kamal berkata, kejayaan Mohd. Nasuha muncul antara lima anak peneroka Felda yang berjaya mencipta sejarah menawan Gunung Everest pada Mei lalu cukup membanggakan.

Apatah lagi, katanya, dalam misi itu, Mohd. Nasuha berjaya mengatasi rekod Muhamad Muqharabbin Mokhtaruddin yang berjaya menawan Gunung Everest pada 2004 ketika berusia 22 tahun.

Menurut Mustaffa Kamal, Mohd. Nasuha juga merupakan mahasiswa yang aktif selepas terlibat dalam pelbagai aktiviti termasuk fasilitator aktiviti luar serta atlet jarak jauh dan menyertai banyak kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Banyak lagi penglibatan beliau dengan aktiviti luar, namun semua itu tidak menyebabkan beliau mengabaikan tanggungjawab sebagai mahasiswa di UiTM Pahang,” katanya.

Menurut beliau, kejayaan menawan puncak Everest yang dikenali sebagai bumbung dunia memerlukan ketahanan diri yang tinggi dan kejayaan Mohd. Nasuha menjadi inspirasi kepada seluruh warga UiTM Pahang.

SUMBER: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Pahang/20130718/wp_03/MBOR-iktiraf-Nasuha-pendaki-termuda     

 

2. FACEBOOK, TWITTER  MENYUMBANG  KECEMERLANGAN  PELAJAR  STPM  2014

Biarpun menetap di luar bandar, ia tidak menghalang Nadrah Syaqirin Ramlan, 20, memanfaatkan teknologi komunikasi untuk menimba ilmu sehingga muncul antara pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2014 kategori Luar Bandar.

Nadrah Syaqirin, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (LKTP) Tersang, Raub, Pahang menjadikan laman sosial sebagai medium untuk mengulang kaji pelajaran bersama rakan sekolah dan calon STPM lain dari seluruh negara.                                                                                             

Menurut Nadrah Syaqirin, doro­ngan ibu bapa membolehkannya me­raih A dalam semua subjek yang diambil iaitu Pengajian Am, Bahasa Melayu, Geografi dan Pengurusan Perniagaan untuk mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.“Ibu bapa sentiasa memberi so­kongan terutamanya apabila me­li­batkan pelajaran, termasuklah me­nyediakan alat teknologi maklumat untuk membolehkan ka­mi belajar dengan lebih baik,” katanya, sambil me­nambah bapanya memberikannya iPad se­­bagai motivasi untuk terus belajar.

Nadrah Syaqirin, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (LKTP) Tersang menerima RM3,000 dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2014 dan Khidmat Setia anjuran Felda Global Ventures Plantation Malaysia (FGVPM) dan Felda Palm Industries (FPI), anak syarikat di bawah Kluster Huluan FGV, di Raub, Pahang, baru-baru ini.

Dalam majlis yang sama, Luqman Hakim Sofian Sauri, anak kepada kakita­ngan FPI, turut mene­rima RM500 di atas pencapaian 9A dalam SPM tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Pengawai Eksekutif FPI, Datuk Ir Jamlus Aziz berkata, sebagai majikan yang prihatin, FGV berbang­ga dengan ke­jayaan cemerlang Nadrah Syaqirin.

“Ini membuktikan bahawa belajar di kawasan luar bandar bukanlah penghalang untuknya mencapai kejayaan,” katanya.

Sumber:http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/facebook-twitter-menyumbang-kecemerlangan-pelajar-stpm#sthash.V8jzDNsM.dpuf